Terengganu, 16 Mac 2025 – Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur sekali lagi mencatat kejayaan dengan melahirkan 237 pelatih yang berjaya menamatkan latihan dalam Majlis Tamat Latihan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (DLSK) Siri 1/2024 dan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) Siri 2/2024 yang disempurnakan oleh YAS Dato' Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah JBPM.
 
Majlis yang diadakan di akademi ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada pelatih, tetapi juga menandakan kejayaan program latihan yang bertujuan memperkukuh kemahiran dan kesiapsiagaan anggota bomba dalam menghadapi pelbagai cabaran operasi kebombaan serta penyelamatan.
Bagi KSSK Siri 2/2024, seramai 207 pelatih telah menamatkan latihan dengan jayanya, yang terdiri daripada:
-181 pelatih dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
-26 pelatih dari sektor swasta
 
Sementara itu, DLSK Siri 1/2024 melibatkan 30 pelatih yang telah menjalani latihan lanjutan dalam bidang kebombaan.
 
Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan JBPM dalam melahirkan anggota bomba yang berkemahiran tinggi serta memiliki ketahanan fizikal dan mental yang mantap dalam menjalankan tugas mereka sebagai barisan hadapan keselamatan awam.
Majlis ini turut menyaksikan penganugerahan kepada pelatih terbaik dalam kategori anugerah Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha, dan Anugerah Menteri. Pengiktirafan ini diberikan kepada pelatih yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh latihan.
JBPM terus komited dalam memastikan setiap anggota bomba dilatih mengikut standard yang tinggi serta dilengkapi dengan ilmu dan pengalaman yang mencukupi untuk menangani sebarang insiden kecemasan.
 
Dengan latihan berstruktur dan menyeluruh ini, kita memastikan anggota bomba negara sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran, sekaligus meningkatkan keberkesanan pasukan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
JBPM juga menekankan bahawa latihan berterusan akan terus diperkasakan bagi memastikan anggota bomba di seluruh negara mencapai tahap profesionalisme yang lebih tinggi, seiring dengan perkembangan teknologi dan cabaran semasa.
Dengan tamatnya latihan ini, pelatih kini bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar sebagai anggota bomba yang cekap dan berdedikasi dalam menjalankan tugas menyelamat serta melindungi masyarakat.
 
Majlis Tamat Latihan ini bukan sekadar satu penutup kepada perjalanan latihan mereka, tetapi merupakan permulaan kepada satu amanah yang menuntut pengorbanan dan komitmen tinggi dalam dunia kebombaan.
 
"Latihan ke Arah Kecemerlangan" –
 
"Semoga semua pelatih yang telah tamat latihan terus bersemangat dalam menjalankan tugas demi keselamatan negara."