Terletak di sebelah kiri jalan menuju ke Pasar Terbuka Serikin di sempadan Sarawak-Kalimantan, 4 km dari Pekan Bau tersergam Balai Bomba Dan Penyelamat Bau yang juga menempatkan Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak.

Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak (ABPMWS), yang dulu dikenali sebagai Pusat Latihan Bomba Wilayah Sarawak  telah mula ditubuhkan di Negeri Sarawak pada bulan Oktober 1982 di Balai Bomba Jalan Padungan, Kuching.

Berikutan perkembangan dan keperluan semasa dalam Jabatan Bomba Dan Penyelamat, baik dari segi taktikal mahupun teknologi ABPWS telah mengalami perpindahan ke beberapa tempat bagi penyesuaian dengan kehendak tadi, iaitu di Kota Samarahan dan  kemudian di Batu Lintang. Seterusnya pada awal bulan Mac 2010 ABPWS sekali lagi berpindah, dan kali ini ke Balai Bomba Bau, sekitar 50 km dari Pusat Bandaraya Kuching.

Dengan keadaan geografi yang agak unik di Balai Bomba Bau, yang berlatarbelakangkan Gunung Taiton dan Gunung Juita, Tasik Biru di sebelah kanan, Gua Fairy di sebelah kiri dan Gua Angin di pinggir Sungai Sarawak Kiri di sebelah hadapan menjadikan Akademi Bomba Wilayah Sarawak begitu strategik untuk mengadakan pelbagai aktiviti, daripada yang sederhana hinggalah ke tahap ‘hardcore’.