Pada 18 Februari 2025, satu Mesyuarat Penyelarasan Usahasama telah diadakan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur antara pihak Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai dan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA). Mesyuarat ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan respons kecemasan.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh seramai 15 orang delegasi dari Hospital Sultan Zainal Abidin yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Shaiffudin Bin Nik Him. Delegasi dari pihak HoSZA turut berpeluang untuk bertukar pandangan dan pengalaman dengan wakil dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memperhalusi mekanisme kerjasama yang lebih efektif di masa hadapan.
Selain sesi mesyuarat, delegasi dari HoSZA juga telah dibawa melawat fasiliti yang terdapat di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur. Lawatan ini memberikan peluang kepada pihak hospital untuk melihat dengan lebih dekat kelengkapan serta kemudahan yang tersedia di akademi bagi tujuan latihan dan persediaan menghadapi situasi kecemasan.
Kerjasama ini diharapkan dapat memperkukuh sinergi antara dua institusi ini dalam meningkatkan kecekapan pengurusan kecemasan, latihan, serta pertukaran pengetahuan dalam bidang penyelamatan dan perubatan kecemasan. Mesyuarat ini juga membuka ruang kepada perancangan aktiviti bersama pada masa akan datang bagi memastikan kesiapsiagaan yang lebih mantap dalam menghadapi sebarang insiden yang melibatkan kecemasan dan bencana.