Akademi Bomba & Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah

SESI 'FACE PRINT' TERAKHIR PBT II HILALUDDIN BIN SAAID

SESI 'FACE PRINT' TERAKHIR PBT II HILALUDDIN BIN SAAID

Kuala Kubu Bharu, 15 Julai 2026 – Suasana penuh emosi dan penghargaan menyelubungi perkarangan Bilik Kawalan ABPM Wilayah Tengah petang tadi, apabila seluruh warga akademi berkumpul untuk menyaksikan sesi 'Face Print' terakhir PBT II Hilaluddin bin Saaid.
PBT II Hilaluddin, yang berkhidmat di Cawangan Logistik ABPM Wilayah Tengah, akan bersara wajib secara rasmi mulai hari ini. Acara ringkas namun bermakna ini dianjurkan sebagai simbolik penghargaan atas khidmat bakti dan dedikasi beliau sepanjang bertahun-tahun berkhidmat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut hadir menyerikan majlis ialah YBrs. PKPjB Syufa'at bin Kamaron, Komandan ABPM Wilayah Tengah, bersama pegawai-pegawai kanan dan kakitangan akademi.
Selepas melengkapkan imbasan wajah terakhirnya pada mesin perakam waktu, PBT II Hilaluddin diraikan dengan sesi bersalaman dan penyampaian cenderamata kenang-kenangan daripada pihak pengurusan akademi. Ramai rakan sekerja tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan dan memberikan ucapan selamat bersara kepada beliau.
Pihak ABPM Wilayah Tengah dan seluruh warga JBPM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PBT II Hilaluddin bin Saaid atas segala sumbangan, khidmat nasihat, dan tunjuk ajar yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Semoga PBT II Hilaluddin dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kebahagiaan bersama keluarga tercinta, dan dipermudahkan segala urusan dalam menempuhi fasa persaraan ini.
Jasamu dikenang, jasamu abadi dalam lipatan sejarah akademi. Selamat Bersara, PBT II Hilaluddin!

KURSUS FSM & FSO SIRI 1/2026: MEMPERKASA INTEGRITI DAN KOMPETENSI KESELAMATAN KEBAKARAN NEGARА

 
KUALA KUBU BHARU, 13 Julai – Majlis Perasmian Kursus Penyedia Latihan dan Pengajar Pengurus Keselamatan Kebakaran (FSM) serta Pegawai Keselamatan Kebakaran (FSO) Siri 1/2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Cemerlang, ABPM Wilayah Tengah pagi tadi. Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh YAS Dato’ Othman bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM.
Dalam amanatnya, YAS Dato’ Othman menegaskan kepentingan melahirkan tenaga pengajar yang kompeten bagi memastikan standard keselamatan kebakaran negara sentiasa berada pada tahap tertinggi. Kursus berimpak tinggi ini menjadi platform penting untuk memperkasakan syarikat penyedia latihan swasta agar selari dengan perundangan kebombaan semasa.
Siri latihan intensif ini dijangka bakal melahirkan barisan pakar pelaksana dan pengurus keselamatan kebakaran (FSE & FSM) yang berkaliber tinggi. Syabas dan selamat berkursus kepada semua peserta!

Kursus Search and Rescue (SAR) – Pengajian Penyelamatan 2026

𝐊𝐔𝐑𝐒𝐔𝐒 𝐒𝐄𝐀𝐑𝐂𝐇 𝐀𝐍𝐃 𝐑𝐄𝐒𝐂𝐔𝐄 (𝐒𝐀𝐑) – 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐉𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔

Kuala Kubu Bharu, 24 Jun – Peserta 𝐊𝐮𝐫𝐬𝐮𝐬 𝐒𝐞𝐚𝐫𝐜𝐡 𝐚𝐧𝐝 𝐑𝐞𝐬𝐜𝐮𝐞 (𝐒𝐀𝐑) – 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐣𝐢𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐦𝐚𝐭𝐚𝐧 𝟐𝟎𝟐𝟔 telah menjalani latihan penuh amali 𝗠𝗮𝗽 𝗥𝗲𝗮𝗱𝗶𝗻𝗴 & 𝗖𝗼𝗺𝗽𝗮𝘀𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗰𝗵𝗶𝗻𝗴 dengan menyusuri laluan dari Jalan Rasa ke Ampang Pecah sebagai sebahagian daripada modul latihan lapangan.

Kursus yang berlangsung dari 22 hingga 26 Jun 2026 ini bertujuan memperkukuh kemahiran anggota dalam operasi mencari dan menyelamat melalui modul seperti Latihan Mencari dan Menyelamat (SAR), Teknik Penggunaan Peta dan Kompas, Pengurusan Operasi Menyelamat serta Penyelamatan Tebing Tinggi (High Angle Rescue).

Latihan amali tersebut diketuai oleh PKPgB Rahmat dan TPgB II Imam Bukhari, dibantu oleh barisan jurulatih berpengalaman iaitu PBK I Yusri, PBK I Munir, PBK I (TBK) Saiful, serta PBK I Aizat selaku Penolong Penyelaras.

Diharapkan segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat diaplikasikan dengan berkesan dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan anggota dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Cepat dan Mesra

Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah
Paparan Terbaik Pada Resolusi Tinggi : 1920 x 1080px

Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan